Photobucket

Thursday, July 29, 2010

Categorized |

Sumbar: Wilayah Kedua Dikuasai PKS

10:42 AM

Selepas memenangi pemilihan Gabenor di Jawa Barat, PKS mula memenangi wilayah tidak dijangka iaitu Sumatera Barat(Sumbar). Ia meliputi kawasan Padang, Padang Pariaman, Padang Panjang dan Bukit Tinggi. Jika kemenangan di Jawa Barat oleh Ustaz Ahmad Heryawan sebelum ini menjadi satu tarikan baru di Indonesia kerana pembasmian rasuahnya, apakah pula yang akan berlaku di Sumbar.

Untuk pengetahuan bersama, Jawa Barat ini beribu negerikan Bandung, satu bandar istimewa di Indonesia yang menjadi tarikan pelancong serata dunia. Kawah gunung berapinya Tangkuban Perahu dan kehangatan air panas di puncak Bandung ini menarik gamitan pelancong. Ditambah pula dengan deretan institusi pengajian tinggi yang banyak menjadikan bandung juga sebagai pusat ilmu seperti Jogjakarta.

Selepas setahun Bandung/Jawa Barat diketuai oleh Gabenor daripada Parti Keadilan Sejahtera PKS, ia diistiharkan sebagai provinsi paling kurang rasuah di Indonesia. Kedudukannya seperti Sweden dan Denmark diperingkat dunia. Peninggalan korupsi, kronisme dan nepotisme KKN dizaman Soeharto ini suatu yang sukar untuk dikikis begitu cepat sebelum ini. tetapi apabila seorang gabenor daripada parti berorentasikan islam sebagai dasarnya memerintah, rasuah dan salah guna kuasa berjaya dibendung. Keadaan ini menjadi bualan penduduk Indonesia khususnya kelas menengah dan para pelajar.

Di Sumatera Barat pula keadaannya berbeza. Wilayah ini tidak dekat dengan ibu kota Jakarta seperti Jawa barat khususnya Bandung. Wilayah ini merupakan kawasan petani dan pesawah yang sangat besar. Asalnya tanah minang ini merupakan tempat lahirnya ulama-ulama besar Indonesia seperti Profesor Dr Hamka dan pemimpin Masyumi Bapak Nasir. Bapak Nasir yang digelar pengkhianat oleh rejim Sukarno ketika dahulu, telah diangkat menjadi pahlawan negara atau negarawan ulung dizaman pemerintahan Sosilo Bambang Yodoyono. Begitu juga dengan bekas timbalan Presiden Indonesia pertama, Hatta, juga kelahiran Sumbar di kawasan Bukit Tinggi. Malah kawasan ini dahulunya dikenali sebagai serambi Madinah.

Namun setelah beberapa dekat lamanya, perubahan berlaku begitu cepat. Anak-anak muda tidak tahu beragama. Budaya hedonisme mula melata. Golongan Pasentran hanya memikirkan pengajian mereka tanpa mendampingi masyarakat. Masjid dan surau kelihatan suram. Sebahagian masyarakat sekitar kawasan perkampungan masih lagi menjadikan sungai sebagai tempat membuang najis mereka. Ketamadunan semakin pudar dan kembali ke belakang. PKS juga bukanlah mendapat tempat sangat di kawasan ini walaupun mempunyai seorang wakil rakyat di peringkat perwakilan daerah saudara Baginda Yohanis. Saya sempat berinteraksi dengan Baginda Yohanis ketika beliau mengunjungi kami di desa yang berlaku gemba tahun lalu.

September 2009 menukar peta politik dan dakwah di kawasan ini. Gemba Bumi yang berlaku di Padang telag mengorbankan ribuan nyawa dan menghilangkan 7 buah kampung. Kesempatan pergi bersama saudara Nasir Hasan, Wan Mohd Adib dari Dungun dan beberapa orang lagi kontigen Yayasan Amal Malaysia memberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat. Kami sempat duduk beberapa ketika melayan baki penduduk kampung Chumanak yang tenggelam dek gemba bumi. Ratusan petugas PKS dari seluruh Indonesia dihantar ke kawasan gemba. Mereka tidak duduk di hotel-hotel atau rumah tumpangan. Sebaliknya duduk di surau-surau dan kawasan perkampungan memberi bantuan terus kepada mangsa.

PKS bukanlah badan yang memiliki dana yang besar. Namun tenaga kerja mereka sangat melata di Padang Pariaman khususnya. Khemah-khemah besar dipasang untuk mangsa gemba. Makanan dimasak, ibu-ibu dan anak-anak disantuni. Dengan bantuan rakan-rakan ngo daripada malaysia seperti Yayasan Amal Malaysia dan Muslim Care, PKS bersama ngo ini membina saluran air untuk keperluan penduduk. Berbekalkan teknologi telaga tiub dari negeri Terengganu, berbelas buah telaga tiup yang tidak perlu dicangkul atau digali telaganya berjaya dihasilkan di tiga buah kampung. Ini sekadar contoh. Untuk jangka masa panjang, PKS membina perkampungan dakwah untuk mangsa gempa. Mangsa diberi rumah percuma dan dikehendaki mengikuti pengajian di masjid surau.

Dipendekkan cerita,saya memetik kata-kata seorang teman PKS "disebalik musibah adanya barakah". Ini kerana selepas gemba bumi berlaku, tidak sampai setahun masyarakat berjaya membuka mata untuk kembali kepada agama. Mereka juga mula melihat pilihan mereka yang sebenarnya untuk diangkat menjadi pemimpin mereka. Hasil khidmat masyarakat ketika gempa dan selepas gempa inilah yang menyebabkan masyarakat tertarik untuk mengundi calon gabenor daripada PKS. Secara tidak langsung menyemarakkan lagi operasi dakwah di tanah minangkabau ini.

0 Responses to “Sumbar: Wilayah Kedua Dikuasai PKS”

Post a Comment

Feedjit Traffic

Followers