Sunday, March 28, 2010

Zaman Menelan Ibrahim Ali

3:38 AM

Bermula sebagai seorang pemimpin mahasiswa di era 70-an bersama Haji Muhamad Sabu di Uitm (Ketika itu ITM, nama Ibrahim dikenali ramai. Tamat pengajian, beliau menyertai Umno sehinggalah pernah menjadi exco Pemuda Umno sekitar tahun 1987. Beliau sempat berada di bawah Najib Razak dan Anwar Ibrahim sebagai ketua Pemuda Umno.

Apabila Kuli menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, Ibrahim Ali keluar Umno dan menyertai kem Kuli. Belum pun Kuli membubarkan Parti Semangat 46 pada tahun 1996, Ibrahim terlebih dahulu lompat kali kedua kepada Umno. Ketika Anwar dipecat daripada Umno, Ibrahim lah antara juara mempertahankan tindakan Mahathir memecat Anwar. Dia menepuk meja menjerkah Anwar dalam mesyuarat terakhir disertai Anwar pada malam 3 September 1998 di PWTC. Ketika itu usianya baru 45 tahun. Masih muda dan bertenaga.

Walaupun ada sejarah dia keluar Umno dan menyerang Mahathir ketika dalam Parti 46, beliau cuba membuktikan kesetiaannya kepada Mahathir kesempatan kes Anwar dipecat. Ke hulu ke hilir dia berceramah membela tindakan Mahathir dan menyerang Anwar dan Pas. Masih ingat beberapa ceramah beliau di sekitar Gombak sebelum dan selepas pilihanraya 1999, Ibrahim berceramah dengan semangat walaupun kehadiran pendengar sekitar 20 orang. Anak-anak muda nakal lebih kurang 50 orang hadir, membunyikan "ong,ong gedek-gedek" beramai-ramai ketika Ibrahim berucap. Ibrahim hanya ketawa. Dia teruskan juga ceramah dihari-hari berikutnya.

Masih ingat dalam satu ceramah, dia diganggu 'bunyi-bunyi katak jadian' yang lebih ramai daripada pendengarnya, ada seorang hadirin melaung, 'piirah pengampu'. Ibrahim sepontan menjawab, "takpa mengampu pun, nanti dapat jadi menteri. Terang lagi bersuluh jawapannya yang jelas memaksudkan tujuan ceramahnya selama ini. Usahanya tidak gagal apabila selepas pilihanraya, Dr Mahathir melantik beliau sebagai timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun kalah pilihanraya di Pasir Mas kepada Ustaz Ismail Noh, beliau dilantik sebagai Senator.

Masih ingat dalam satu ceramahnya di Sekolah Teknik Pasir Mas seperti dilaporkan akhbar Harakah ketika itu, Ibrahim memperli Pas. Katanya yang dikatakan panas api neraka ini macam panas minyak goreng keropok sahaja. Sebaik majlis selesai, datang angin ribut yang mencabut kesemua bumbung bangunan sekolah tersebut. Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga menulis satu buku kecil berbentuk satira berjudul 'Babi'. Ia bagi melawan buku sastera SN Shahnon Ahmad berjudul 'Anjing'. Dalam buku 'babi' itu, ditulis kata-kata dan lakaran gambar yang menghina pimpinan Pas. Ada babi berserban (dituju Presiden dan Mursyidul Am), babi berambut belah tengah (dituju Naib Presiden ketika itu Dr Hasan Ali) dan lain-lain jenis babi yang di sinonimkan dengan perwatakan pemimpin Pas.

Apabila Pak Lah menjadi Presiden Umno pada tahun 2003, beliau merombak jawatan ketua-ketua Umno bahagian termasuk Ibrahim Ali. Ada yang kekal dan ada yang digantikan. Ibrahim sebagai ketua Bahagian Pasir Mas digantikan dengan Dato Rahim. Maka gelap politik Ibrahim sementara waktu. Dia sangat marah dan mengadakan pertemuan besar dengan pengikutnya. Ratusan pengikutnya menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Mulalah satu penentangan terhadap PM baru ini. Kemuncaknya pada pilihanraya 2004, beliau bertanding juga atas tiket bebas dan kalah teruk sehingga mendapat undi yang sangat sedikit. Beliau dipecat terus daripada Umno.

Bergeraklah beliau secara bebas dengan menubuhkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan berbagai ngo sehingga hari ini dan terkini Perkasa. Berbaiklah beliau dengan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pas. Apabila berlaku pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, beliau bertanding dan hanya mendapat 415 undi sahaja. Muka beliau kerap dilihat dipentas-pentas pembangkang. Berbagai kata dihemburkan kepada Pak Lah. Paling kerap beliau menyebut dalam ceramahnya ialah perkataan 'babi'. Ni babi ni. Kata-kata melepas geram beliau. Kerap beliau diperli oleh Haji Muhamad Sabu ketika dalam ceramah bersama. Tetapi beliau buat tak hendah sahaja hatta depan Tok Guru Nik Aziz.

Apabila menang pilihanraya 2008 atas tiket Pas, beliau mula menunjukkan belang sebenar. Diserang Pakatan Rakyat, Anwar, Tok Guru dan Pas dan bermacam-macam adegan yang diketahui ramai. Kelmarin kemuncaknya beliau melakukan AGM persatuan penaja Perkasa. Pelik, Perkasa ini baru penaja, belum diluluskan, tetapi KDN sudah meluluskan akhbar untuknya. Jelas alat siapa ini? Penulis mahu menyimpulkan yang segala tindakan Ibrahim Ali ini kerana mahu dapatkan perhatian 'bos-bos' besar kerajaan ini. Jika dahulu tindakan mati-matiannya menyebabkan Mahathir melantik jadi timbalan menteri, sekurang-kurangnya kali ini diterima kembali masuk Umno dan jadi menteri. Boleh jadi itu sahaja.

Namun zaman telah menelan kebijakan politik Ibrahm Ali. Umurnya kini 57 tahun. 10 tahun lagi menghampiri 70 tahun. Maka daripada segi usia sahaja, dia bukanlah orang yang berpotensi lagi untuk diambil Najib. Muka-muka baru diambil Najib semuanya muda-muda seperti Ahmad Maslan, Fuad Zarkasyi dan Saifuddin Abdullah. Citarasa mereka juga selaras dengan 1 Malaysia idaman Najib. Daripada segi fikiran dan tindakan pula, Ibrahim menjadi leabiliti pada Umno. Semangat Melayu tiada hujung pangkal, menghentam kaum lain menyebabkan golongan yang sedang menolak Umno hari ini semakin lari daripada BN jika Ibrahim Ali diambil. Ibrahim sebenarnya duduk dizaman 70-an seperti diawal kemasukannya dalam Umno dahului, namun realiti zaman ini sudah jauh berubah. Maka jika Umno tidak menerimanya kembali dan beliau bertanding atas tiket bebas dalam PRU akan datang, maka secara rasminya tamatlah riwayat politik beliau.

Sejarah pilihanraya 2004 dan PRK Permatang Pasir menunjukkan rakyat Pasir Mas menolak Ibrahim Ali, sebaliknya beliau menang sebelum dan selepas itu disebabkan parti yang ditandingi. Jadi usah berangan untuk terus menjadi MP lagi selepas ini. Galilah sedalam-dalamnya kubur kamu, dengan bermusuhan bersungguh-sungguh dengan Pakatan Rakyat, kelak rakyat dan zaman akan menanam kamu dalam-dalam. Insya Allah, talkin untuk Ibrahim Ali dua tahun lagi.

Read the full story

Friday, March 19, 2010

Teringat Baju Petak-Petak Ustaz Fadhil Nor

2:38 PM



Subuh hampir menjelma. Mata sukar untuk lena. Jari-jemari masih setia atas meja mengadap paparan wajah almarhum Ustaz Fadhil yang sudah lebih tujuh tahun meninggalkan kita. terlihat baju kotak-kotak hijau berpoket kanan dan kiri. Jika tidak silap penulis, sepanjang tahun-tahun terakhir beliau sebelum kebali kerahmatullah, baju itulah yang sering beliau pakai untuk program-program parti. Di kedah, Jalan Pahang, Sungai Gau, Taman Melewar, Putik dan gambar-gambar di Harakah, lebih 20 kali rasanya penulis melihat ustaz Fadil dengan baju petak-petak hijaunya.

Satu lagi baju Melayu hijau petronas. Ketika muktamar terakhir beliau hadiri di Putik, Pengkalan Chepa, baju warna hijau Petronas itulah yang dipakainya. Baju itu juga kerap dilihat dipakai oleh ustaz Fadhil di Parlimen, di program-program rasmi parti. Memang terlalu kerap melihat dua baju itu dipakai oleh ustaz Fadhil. Teringat ketika sambutan 50 tahun pas pada tahun 2001 peringkat negeri Pahang, sempat bersalaman dengan beliau.

Kisah ini mengingatkan kisah penulis bersama sahabat-sahabat setiap kali hendak ke program. Kadang-kadang hendak memilih baju memakan masa begitu lama. Bukan kerana kaya sangat dengan baju mahal-mahal. Tetapi ada diantaranya memikirkan baju itu sudah pakai dua hari sudah, minggu lepas juga pakai baju yang sama. Bimbang kononnya orang akan kata itu dan ini, terus sahaja mencari baju yang lain. kadang-kadang ada sampai beribu-ribu nilai bajunya semata-mata mahu dilehat hebat dimata masyarakat.

Sahabat. Ketika menghadiri satu program jemaah beberapa minggu yang lalu, saya terpandang seorang rakan lama yang kini bergiat sepenuh masa dengan jemaah. Dia dibayar gaji yang sederhana oleh jemaah. Seronok bertemu kerana kerap melihat beliau didada-dada akhbar dan blog memberi kenyataan itu dan ini. Membantu pimpinan dan sebagainya. Namun apabila terpandang ke bawah, terlihat kaki seluarnya tidak berjahit. Maaf, terperhati lagi, rupanya bukan sengaja tidak berjahit, tetapi vbeliau memakai seluar yang ditetas kakinya. Kenapa ditetas kakinya? Mungkin seluar itu sudah singkat dan dia tida mampu membeli seluar yang baru, lalu ditetas sahaja seluar sedia ada. Masya Allah... Menitis air mata penulis. Masuk ke biliknya, terpandang sehelai lagi seluarnya, juga ditetas kakinya. Ya Allah, ku ampunkanlah aku. Dikala aku kadang bermewahan, ada sahabat seperjuangan, pernah sekampus, sepenuh masamemantu perjuangan Islam, tidak mampu membeli sehelai seluar baru.

Teringat juga kisah bapa penulis. Ketika harga getah turun sekitar awal 70-an. Katanya hendak membeli kain lampin untuk anak kecil pun tidak mampu. Yang ada hanya dua tiga helai lampin sahaja. Apabila anak merengek buang air, maka ditukar lampin. Jika sehari dua tiga kali tukar, maka kain lampin kehabisan. Menanti lampin pertama kering selepas dibasuh, maka si anak dipakaikan dengan kain sampin yang dihadiahkan kepada bapa ketika perkahwinan dahulu. Itulah lumrah pejuang terdahulu.

Kisah seterusnya, seorang pimpinan melawat satu kawasan di utara tanah air. Apabila melangkah masuk ke sebuah markaz, dia berbau getah skrap (getah buku). Dia bertanya, adakah terdapat kedai membeli getah dekat sini? Jawab ketua cawangan, tidak. Tetapi belakang markaz ini memang tempat ahli-ahli kumpul getah skrap. Setiap hari, apabila pulang dari kebun getah, satu bahagian daripada getah-getah yang dikutip akan dihantr ke markaz. Itu bahagian jemaah. Itulah sumbangan yang mampu mereka berikan di zaman harga getah merudum.

Kesimpulannya, baju petak-petak ustaz Fadhil cukup menginsafkan. Dia tidak bisa memikirkan apa orang hendak kata jika memakai baju yang sama berulang kali.

Read the full story

Mazlan Aliman Penghasut: MP Kuala Krau Hina Anak Peneroka

12:00 PM

MP Kuala Krau Dato Ismail Said berucap di Parlimen menuduh Mazlan Aliman Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan menghasut generasi kedua Felda agar membenci kerajaan. Dia menyebut Mazlan juga menghasut membeci kerajaan dengan bukunya berjudul 'Felda: Dulu Tolong Sekarang Along.'

Sebelum ini, Dato Ismail Said yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krau pernah bertanya kepada lawannya Ustaz Kamal Syaari calon Pas Parlimen Kuala Krau, "kenapa kamu lawan kerajaan lagi, kan kamu anak peneroka? Tak cukup kah dengan apa yang kerajaan bagi?" Kebetulan Ustaz Kamal Syaari adalah anak peneroka Felda Padang Piol Jerantut.

Penulis tidak mahu menjawab tuduhan MP Kuala Krau ini kerana Dr Lo Lo MP Titiwangsa sudah mencabar beliau menjawab fakta-fakta dalam buku Mazlan jika benar Felda tidak menyeleweng. Penulis juga tidak mahu menjawab tuduhan Mazlan menghasut kerana penulis tahu, Ismail Said menyangka dia sahaja di Parlimen Kuala Krau ini yang belajar tinggi sampai mendapat degree di UKM, manakala yang lain belajar setakat darjah enam sahaja sehingga begitu tidak cerdik menerima hasutan Mazlan Aliman. Orang-orang Kuala Krau, Jengka, Keratong, Bera dan Cini tidak ada yang belajar sampai ke universiti dan cerdik seperti Ismail said, bahkan sekolah-sekolah menengah juga ditutup semuanya di Parlimen Ismail Said ini sehingga mudah sekali menerima hasutan Mazlan. Saya juga tidak mahu jawab tuduhan Ismail Said ini kerana jika dicabar oleh Mazlan untuk berdebat isu Felda ini pun, sudah pasti dia tidak akan menyahutnya.

Cuma satu soalan sahaja yang penulis hendak simpulkan kepada Dato Ismail Said. Pegawai kanan siapakah yang menghubungi salah seorang bekas orang kanan MIC bahagian yang tinggal di sebuah felda, meminta supaya dijatuhkan salah seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian yang anak dan kroninya memegang jawatan dalam majlis belia felda. Pegawai kanan MP manakah yang turut sama meminta bekas orang kanan MIC yang masih belia itu supaya mendedahkan penyelewengan dalam majlis belia felda yang dilakukan oleh salah seorang ajk Umno bahagian? Jawab segera persoalan ini sebelum didedahkan lebih banyak lagi.

Komplot yang berlaku diatas menunjukkan pemimpin BN sendiri hendak menjatuhkan sesama mereka kerana tidak puas hati dengan penyelewengan rakan-rakan mereka dalam Majlis Belia Felda. Itu baeru dalam hal kecil. Belum lagi hendak menjawab tududuhan-tuduhan dalam buku Mazlan.

Read the full story

Monday, March 15, 2010

Kedah Tidak Membangun? Mukhriz Sembunyi Maklumat

1:13 AM



Caption: (Kiri) Tuan Guru Haji Saleh bersama pelajarnya, (kanan) Ustaz Azizan Razak

Kenyataan Mukhriz Mahathir ahli Parlimen Jerlun dalam media kelmarin bahawa Kedah tidak membangun setelah dua tahun diperintah Pakatan Rakyat suatu yang memelikkan. Dia juga mengatakan tidak ada perubahan kepada pentadbiran negeri selepas MB baru memerintah Kedah.

Kalaulah Yb Jerlun ini malas membaca laporan ekonomi, laporan kementeriannya sendiri iaitu kementerian Perdagangan Antarabangsa yang dia menjadi timbalan menterinya, sepatutnya dia tidak tuli telinga untuk mendengar maklumat daripada pegawainya. Kementerian beliau sendiri yang mengumumkan Kedah menjadi negeri kelima tertingggi dimasuki pelabur bagi tahun lalu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM800 juta lebih. Bayangkan sebelum ini Kedah duduk dalam 'Top Five' negeri termiskin di Malaysia, dalam masa satu tahun sahaja berjaya membuka keyakinan kepada pelabur untuk melabur sehinggalah cukup dua tahun, Kedah menduduki tangga kelima. Dikhabarkan juga dua negei Pakatan Rakyat duduk dalam 'Top Five' negeri tertinggi menerima pelaburan dalam dan luar negara.

Jadi baki negeri Pakatan hanya satu. Maka negeri manakah yang duduk dalam baki 7 negeri tercorot menerima pelaburan terendah di Malaysia. Selain Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, negeri-negeri lain ini diperintah oleh siapa? Adakah negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Melaka, Perlis, Perak dan Sabah ini diperintah oleh AKIM atau Berjasa, atau Parti Semangat 46 yang dibubarkan atau IPF atau Parti Makkal Sakti atau Parti milik Nallakarupan atau Ibrahim Ali. Yang pasti negeri-negeri mundur ini tidak diperintah oleh Pakatan Rakyat. Boleh jadi parti yang disertai Mukhriz agaknya yng memerintah negeri kurang pelabur masuk ini.

Di zaman BN, sekolah-sekolah agama rakyat diketepikan. Pondok Tuan Guru Haji Saleh Musa di Sik memohon tar kepada 3 menteri besar BN sebelum ini tidak pernah dapat. Tidak sampai setahun memerintah MB baru Ustaz Azizan memberikan tar lengkap sampai ke Pekan Sik. Sehingga hari ini lebih 4 ribu pengunjung menghadiri kuliah pagi jumaat di Pondok Tok Guru Haji Saleh ini yang semakin selesa. Guru-guru sekolah agama rakyat dan pondok diberi bantuan. Begitu juga dengan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah yang dijanjikan oleh tiga MB zaman BN. Tetapi belum cukup dua tahun MB Pas memerintah, kampus induk Insaniah sudah mula dibina.

Dalam hal pertanian, di zaman BN kawasan sawah padi semakin mengecil. BN mahu mengambil tanah rakyat di Yan beribu ekar untuk dibangunkan projek petrokimia. Namun Pas menentang ketika menjadi pembangkang. Kini tanah sawah beribu ekar itu tidak diambil dan projek dipindahkan ke kawasan ditambak di pesisir laut Yan. Kerajaan Pakatan Rakyat juga menambah sebanyak 6000 hektar kawasan baru tanaman padi bagi memenuhi keperluan negara. Begitu juga projek ternakan keli kanvas di Sungai Pau Sik yang baru dilancarkan, tetapi sudah mendapat tempahan sebanyak 680 tan metrik sebulan. Jumlah ini juga dijangka meningkat sebanyak 1200 tan sebulan apabila mula dieksport keluar negara. Keli yang dijadikan sardin dan fishball ini mendapat tempat di negara-negara luar. Projek tanaman jagung di Changloon Kedah yang mula mengeluarkan hasil menjadi kawasan tanaman jagung terbesar di Malaysia. Permintaan pasaran tempatan oleh pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco sahaja tidak dapat ditampung. Usaha-usaha sedang dijalankan untuk menjadikan Kedah negeri jagung, padi dan nanas untuk keperluan tempatan dan luar negara giat dijalankan di Pokok Sena, Changlon, Sik dan Baling. Tanah-tanah milik rakyat yang terbiar diusahakan oleh kerajaan negeri untuk tanaman-tanaman ini.

Begitu juga dengan pembangunan insan. BN dizaman pemerintahan Abdullah Badawi mengwa-warkan pembangunan insan untuk ditekankan. Namun tiada program dibuat di negeri Kedah. Sebaliknya selepas Pakatan memerintah, hari ini dimulakan diadakan Kem Bina Sakhsiah selama 21 hari untuk remaja 15 tahun ke atas dan Kem Anak Soleh di tujuh tempat serentak untuk anak-anak bawah 12 tahun. Kesemua kem ini melibatkan pembangunan sahksiah remaja seramai dua ribu orang satu tahun. Dijangka jumlah ini akan meningkat kepada tiga ribu ke lima ribu orang remaja setahun bergantung kepada kewangan dan tenaga kerja. Jika jumlah dua ribu itu kekal, sepanjang lima tahun insyaAllah Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan memerintah, seramai 10 ribu remaja berjaya dididik dengan sahksiah dan amalan agama yang baik seterusnya dapat mengurangkan masalah sosial dikalangan remaja.

Pendedahan penulis ini hanya 5 peratus daripada perubahan sebenar yang berlaku selama dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat. Belum bercakap lagi soal pelancongan yang meningkat di Langkawi pada tahun lepas, soal kutipan hasil cukai, perbandaran dan kerajaan tempatan. Yang besarnya juga, tidak ada exco, adun dan pegawai besar kerajaan negeri yang disabitkan dengan kesalahan rasuah sepanjang pemerintahan. Adakah ini bukan perubahan wahai Mukhriz. Penulis syorkan Mukhriz tumpu kepada penyelesaian konflik merebut calon di Kota Seputih dalam parlimennya terlebih dahulu sebelum bercakap hal pentadbiran negeri.

Read the full story

Wednesday, March 10, 2010

Kisah Tragis Peneroka dan Anak-Anak Diheret Keluar Felda

4:26 AM

Sekitar tahun 80-an dahulu seorang peneroka di salah sebuah rancangan Felda di Jengka telah menghadiri satu program Menteri bersama rakyat. Menteri itu ialah menteri yang menjaga hal ehwal Felda iaitu Dato Rais Yatim. Dalam lawatan itu, Rais Yatim menyatakan hasrat hatinya untuk tidur di rumah salah seorang peneroka untuk melihat lebih dekat kehidupan sebenar peneroka.

Pihak pengurusan Felda pun memilih sebuah rumah peneroka dan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan. Kemudian dicari beberapa ekor ayam hutan untuk dijamu si menteri. Puaslah menteri dilayan di rumah peneroka ini. Keesokan harinya Rais Yatim pun berucaplah dihadapan peneroka-peneroka. Dia menyatakan terkejut dengan kehidupan peneroka yang sangat baik. Katanya dia tidak sangka dengan peneroka yang hidup senang dan mudah mendapatkan ayam hutan sebagai sajian hari-hari.

Tiba-tiba bangun seorang peneroka dan berucap. Katanya apa yang menteri katakan itu sesuatu yang palsu. Ia hanya disiapkan setelah mengetahui menteri hendak tidur di rumah tersebut. Padahal kehidupan sebenar peneroka sangatlah daif. Mereka hidup dalam kesusahan. Gambaran makan ayam hutan dan rumah yang penuh dengan peralatan itu hanyalah satu lakonan sahaja. terkejut Rais Yatim. Rupa-rupanya dia tertipu dengan layanan tersebut.

Ucapan peneroka tersebut mendatangkan kemarahan pihak berkuasa Felda. Lalu banyaklah usaha dibuat untuk menyingkirkan dia dari tanah rancangan Felda. Maka dia dituduh melakukan kesalahan bekerja di luar Felda. Ini kerana dasar Felda ketika itu tidak membenarkan peneroka bekerja lain-lain pekerjaan. Mereka mesti tumpu kepada ladang sahaja. Namun disebabkan tidak cukup pendapatan untuk menyara keluarga, ramai peneroka Felda yang part time sebagai jaga, boroh binaan dan lain-lain. peliknya orang lain yang turut kerja di luar tidak dikenakan tindakan.

Maka peneroka ini mendapat notis arahan keluar dari Felda. Dia cuba beberapa kali mempertahankan haknya. Sehinggalah suatu hari, dia dipaksa dengan kekerasan untuk keluar dari Felda tersebut. Anak-anaknya yang sedang bersekolah diherek balik untuk keluar terus dari Felda tersebut. Semua ini sebenarnya disebabkan peneroka terbabit mempersoalkan layanan palsu yang Felda berikan kepada menteri. Inilah sejarah yang mungkin generasi hari ini tidak ketahui. Boleh rujuk satu buku yang dikarang oleh Suhaimi Said peguam Pas yang membela peneroka ini ketika itu (kini Suhaimi Ketua PKR Cabang Kuala Krau Pahang).

Read the full story

Penahanan Mazlan Aliman : Felda Ingat Anak Peneroka Buta Huruf?

1:03 AM

"Mazlan dilokap lagi," panggilan telefon dari mahkamah Raub meyebabkan air mata penulis menitis tidak henti-henti. Saudara yang memaklumkan itu adalah anak peneroka yang juga teman rapat Mazlan Aliman. Berita penangkapan Mazlan semalam tidak lah mengejutkan sangat. Ini kerana semua orang fikir Mazlan ditahan sebentar sahaja. Rupa-rupanya dia tidur di lokap polis Raub malam tadi.

Kisahnya bermula apabila Mazlan Aliman menziarahi peneroka Lembah Klau di Raub Pahang. Dalam ziarah itu juga dia telah mengadakan dialog dengan beberapa orang peneroka di dalam rumah mereka. Tidak semena-mena, datangnya pegawai-pegawai felda termasuk polisko(keselamatan felda) dan menghalang Mazlan meneruskan dialog. Berlaku pertengkaran di sana. Mazlan dengan beberapa orang peneroka ke Balai Polis bagi membuat laporan gangguan yang dikenakan kepadanya.

Selepas membuat aduan, dia telah ditahan polis dan tidur dilokap semalaman. Malam ini malam kedua beliau mendekap di lokap polis. Ini semua gara-gara tindakan pihak felda yang dikatakan telah mengarahkan semua felda melarang Mazlan memasuki semua tanah rancangan felda. Ini arahan bodoh yang tidak masuk akal. Sedangkan Mazlan itu sendiri anak peneroka. Malah peneroka-peneroka memiliki tanah mereka sendiri dan mereka berhak mengajak siapa sahaja bertandang ke rumah mereka.

Sebenarnya felda semakin panas dengan laporan suhakam yang dibuat Mazlan minggu lepas berkaitan dengan penipuan dan penindasan felda kepada peneroka. Sebelum itu mereka berhadapan dengan tindakan mahkamah peneroka felda di Kelantan atas penipuan gred sawit. Mahkamah telah mengarahkan felda membayar ganti rugi kepada peneroka-peneroka ini. Selepas itu, mereka tertekan dengan ratusan dialog dan ceramah penerangan yang dibuat oleh Mazlan Aliman bersama kumpulannya di seluruh felda di Malaysia mendedahkan kepincangan dan penindasan felda kepada peneroka. Boleh dikatakan lebih 80 peratus felda di Malaysia sudah dimasuki Mazlan Aliman. Malah ada felda yang dimasuki tiga hingga lima kali atas permintaan peneroka-peneroka sendiri.

Ini menyebabkan felda tertekan dengan kebangkitan rakyat peneroka yang mula reti erti undang-undang dengan membawa berbagai-bagai kes ke mahkamah, membuat pendedahan kepada media, mengajurkan konvensyen dan kemuncaknya berhimpun di Suhakam membuat aduan. Laporan Suhakam itu mendapat liputan besar-besaran oleh media seperti Harakah, Suara Keadilan, Malaysia Kini dan juga akhbar-akhbar arus perdana. Dunia luar felda terkejut dengan laporan-laporan ini kerana sangkaan mereka, peneroka felda ini orang yang sangat dimanjakan oleh kerajaan sejak dahulu kerana selama ini berita-berita manis sahaja didengar mereka. Namun laporan kepada Suhakam itu menyebabkan tekanan yang felda hadapi semakin memuncak.

Isu yang menjadi tumpuan ialah potongan tanam semula yang berjumlah sekitar RM40 setiap bulan sejak mula peneroka keluarkan hasil 30 tahun lebih yang lalu tidak dipulangkan semula kepada peneroka. Sedangkan ianya bukan peruntukan kerajaan atau apa-apa subsidi, sebaliknya ia duit peneroka yang dipotong sehingga kini dikatakan berjumlah RM17 ribu setiap orang. Felda tidak membayar kembali simpanan yang dibuat untuk tujuan tanam semula itu setelah peneroka-peneroka kini menanam semula getah dan sawit mereka. Penipuan felda dalam gred sawit juga berlaku ketara sehingga peneroka felda Kemahang menang di mahkamah apabila kes ini dibawa oleh mereka.

Tidak tahan dengan suara Mazlan Aliman ini, maka arahan bodoh menyekat kemaraan beliau dibuat dan kemuncaknya juga semalam mereka cuba menyekat Mazlan di Lembah Klau sehingga beliau ditahan polis. Peringatan yang hendak penulis berikan kepada felda, bahawa anak-anak peneroka kini bukan lagi seperti diawal kemasukan mereka di felda pada tahun 70-an yang lalu. Anak-anak peneroka sudah ada yang menjadi peguam, jurutera, PTD, pensyarah, ahli politik dan CEO syarikat-syarikat besar. Ribuan anak peneroka yang memiliki ijazah, master dan Phd. Kami bukan golongan buta membaca dan lemah berfikir seperti kamu fikirkan. Apabila peneroka Kemahang membawa kes ke mahkamah, baru kamu sedar kami juga punya kepandaian malah lebih cerdik daripada kamu.

Jadi usaha menyekat Mazlan yang dilakukan, tidak akan memadamkan usaha mendedahkan penindasan kepada peneroka dan usaha-usaha memperjuangkan nasib peneroka akan semakin bersemarak. Daripada ramai yang tidak tahu, kini isu ini semakin diketahui ramai. Seorang Mazlan ditahan, 100 orang watak 'Mazlan' yang baru sedia menanti. Jika selama ini hanya Mazlan dan beberapa kerat anak-anak peneroka terlibat sebagai 'leader' kepada isu ini. Selepas penangkapan Mazlan ini, berpuluh anak peneroka akan terus menggempur isu-isu ini sampai ianya diberi keadilan. Insya Allah dalam masa terdekat ini sebuah akedemik latihan kepimpinan anak-anak peneroka akan dibuat untuk tujuan ini.

Di gugusan Chini dan Keratong kita ada Ustaz Fadhil Nor dan Ustaz Nasarudin Tantawi. Di Jengka kita punya Ustaz Syahril Azman dan Aris Faizol. Malah naib presiden Pas yang arif dalam masalah felda, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man juga tinggal di kawasan felda. Lagi sekat, lagi kami bangkit.

Read the full story

Tuesday, March 9, 2010

Diantara Golkar Dengan Umno: Siapa Mati Dulu

2:25 AM

Melihat usaha Umno menggunakan pihak berkuasa tempatan dibeberapa tempat untuk menutup Pasti mengingatkan penulis kepada kekuatan Umno itu sendiri. Di Indonesia, Golkar suatu ketika dahulu yang disamakan dengan Umno daripada segi diktator pemerintahannya, rasuah, nepotisme dan kronisme. Golkar yang dipimpin Akhbar Tanjung, Soeharto dan Bj Habibie ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat pada tahun 1998. Soeharto yang memerintah hampir 30 tahun disamakan dengan Mahathir yang memerintah hampir 20 tahun. Ditambah pula pemecatan timbalannya Dato Seri Anwar Ibrahim, ia sekaligus menyemarakkan kebangkitan rakyat era reformasi 1998.

Sejarah mencatatkan beberapa gerakan kebangkitan di Tanah Melayu sebelum merdeka lagi mendapat pengaruh gerakan di Indonesia seperti penubuhan Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Haji Yaakub, penubuhan PKMM pimpinan Mukhtarudin Lasso dan Dr Burhanudin Helmi serta penubuhan Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Begitu juga semangat reformasi menumbangkan soeharto berjangkit ke Malaysia.

Selepas Soeharto dijatuhkan, Bj Habibie menjadi Presiden Indonesia. Dia yang sebelum itu naib presiden Indonesia turut menerima tempias kemarahan rakyat. Sehingga dalam pilihanraya berikutnya, dia dijatuhkan dan kerusi Presiden dikuasai oleh Kiai Abd Rahman Wahid (Gus Dur) daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB). PKB yang sedikit berimej Islam namun terkenal dengan pendirian liberal seperti menyokong Inul Goyang Gerudi dalam banyak hal telah mengakhiri penguasaan parti Golkar semenjak lebih 30 tahun. Penganalisis ketika itu melihat Golkar akan terkubur dan pupus di Indonesia.

Namun kemenangan Gus Dur tidak berpanjangan apabila pemilihan Presiden selepas itu dimenangi oleh Megawati Sukarno Putri daripada Parti PDI Perjuangan (PDIP). Walaupun demokrasi semakin terbuka dan bercambahnya parti-parti baru seperti Parti Bulan Bintang pimpinan Yusril Ihya Mahendra, Parti Amanat Nasional pimpinan Amien Rais, Parti Umat Islam pimpinan Bapak Delier Noor, Parti Keadilan atau kini PKS pimpinan Dr Hidayat Nor Wahid, Parti Masyumi Baru dan banyak lagi parti lain, namun penguasaan parti-parti lama juga yang lebih menonjol dalam pilihanraya. Antaranya Golkar sendiri, PDIP, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) pimpinan Hamzah Haz menguasai banyak kerusi berbanding parti-parti baru.

Selepas hampir 15 tahun selepas kejatuhan Soeharto, Parti Demokrat menguasai pimpinan Sosilo Bambang Yodiyono menguasai banyak kerusi, sekaligus membolehkan mereka membuatkan pakatan politik untuk bertanding kerusi Presiden. Kali ini Parti Demokrat berganding dengan Golkar dalam Pemilihan Presiden (PILPRES). Sosilo atau SDY dicalonkan sebagai Presiden dan Yusuf Kala daripada Golkar dicalonkan sebagai Naib Presiden. Gandingan ini membawa kemenangan dan sekaigus Megawati dikalahkan oleh SDY dalam pilihanraya tersebut. Beberapa tahun berikutnya iaitu pada tahun 2009, Golkar meletakkan calonnya sendiri untuk PILPRES. Yusuf Kala dicalonkan sebagai Presiden untuk bersaing dengan SDY daripada demokrat dan Megawati daripada PDIP. Ini percubaan berani Golkar setelah melihat partinya menang banyak kerusi dalam PEMILU sebelum itu. Golkar dikatakan parti kedua memenangi paling banyak kerusi di Parlimen. Perlawanan ini juga sekaligus sebagai kebangkitan semula Golkar setelah kejatuhan Soeharto lebih 10 tahun yang lalu.

Walaupun pakatan Golkar tidak memenangi pilihanraya ini, setelah dikalahkan oleh Pakatan SDY dan Boediyono hasil tahaluf siasi dengan beberapa parti politik seperti PKS, namun Golkar tetap dilihat sebagai parti yang kuat di Indonesia. Dia menjadi parti kedua terbesar selepas Demokrat. Demokrat menguasai 148 kerusi dan Golkar 104 kerusi di Parlimen. Selepas Golkar, PDIP pimpinan Megawati menguasai tempat ketiga dan PKS tempat keempat terbanyak kerusi di Parlimen. Untuk pengetahuan, parti baru pasca kejatuhan Soharto iaitu PKS pimpinan Tifahul Sembiring satu-satunya yang berjaya menempatkan diri diarus perdana politik Indonesia apabila kali ketiga masuk pilihanraya sudah memenangi 57 kerusi atau 10 peratus kerusi di Parlimen. Pilihanraya sebelum itu PKS memenangi 47 kerusi. Parti yang sebelum ini dipimpin Hidayat Nor Wahid ini dilihat sebagai parti baru yang sedang memuncak di Indonesia dan tidak mustahil dalam pilihanraya yang akan datang mereka boleh berdiri dengan sendiri meletakkan calon Presiden.

Apa-apa pun Golkar yang dijangka akan mati sebelum ini berlaku sebaliknya. Walaupun parti itu masih terpalit dengan kegiatan rasuah dalam pemilihan ketua umumnya baru-baru ini, ia masih mendapat tempat disebahagian masyarakat Indonesia. Abu Rizal yang memenangi pemilihan ketua Umum Golkar dikaitkan dengan politik wang pada persidangan itu.

Bagaimana dengan Umno di Malaysia. Umno satu-satunya parti yang memerintah bersama pakatan Barisan Nasional sejak merdeka. Sudah 53 tahun UMNO/BN memerintah Malaysia tanpa bertukar tangan. Umno bergantung kuat kepada jentera kerajaan. Boleh dikatakan majoriti atau lebih 70 peratus bilik-bilik gerakan Umno di seluruh negara menggunakan aset kerajaan. Biasanya di peringkat cawangan, Umno akan menggunakan balairaya milik JKKK, balai penerangan, pejabat Kemas sebagai bilik gerakan mereka. Mereka juga menggunakan segala kemudahan kerajaan daripada kementerian-kementeriannya seperti penerangan, kenderaan-kenderaan kerajaan, dewan sekolah dan IPTA untuk melangsungkan aktiviti mereka. Begitu juga dengan pegawai kerajaan, polis, pihak berkuasa tempatan digunakan Umno dalam menghadapi musuh politiknya. Daripada segi pendidikan pula dan kemasyarakatan, Umno menggunakan Kemas milik kerajaan sebagai agensi mereka. Sumber kewangan mereka juga adalah hasil-hasil kerajaan.

Berbeza dengan lawan terdekatnya iaitu Pas. Pas mempunyai markaz disemua negeri, kawasan dan cawangan-cawangan. Malah ada tempat yang mempunyai kemudahan milik Pas yang setaraf dengan bangunan kerajaan seperti dewan Putik di Kelantan, Dewan Pas Kedah di Kota Sarang Smut, Dewan Pas Tanjung Karang, Kompleks Pas Kuala Terengganu dan banyak lagi. Pas juga mempunyai sekolah-sekolah dan kolej-kolej milik parti atau pimpinan mereka. Di Kedah adanya Muassasah Darul Ulum, Darul Quran Rusila, Kudqi di Manir dan terkini Kolej Universiti Zulkifli Muhammad di Taman Melewar. Kejayaan besar Pas juga ialah memiliki beribu buah tadika dikenali Pasti. Pelajarnya di seluruh negara berjumlah puluhan ribu setiap tahun. Walaupun tidak mmerintah, Pas memiliki aset yang sangat banyak untuk menggerakkan jenteranya.

Perbandingan inilah yang boleh dianalisis terhadap masa depan Umno. Jika Umno kalah dalam pilihanraya akan datang atau bila-bila masa sahaja, tidak mungkin dia akan kembali bangkit seperti Golkar. Umno akan lumpuh jenteranya kerena mereka sebenarnya hampir tidak ada jentera. Bukan sahaja bilik gerakan atau dewan-dewan besar milik Umno, untuk membina sebuah tadika pun Umno tidak memilikinya.

Oleh itu, jika kalah dalam pilihanraya, peruntukan kewangan yang tersekat, jentera yang lumpuh akan mengakibatkan Umno tidak boleh menggerakkan rodanya. Ia akan tersadai di tepi jalan. Media parti tidak ada, bilik gerakan tidak ada, sumber kewangan terbantut akan menyebabkan parti itu tidak mampu bangun kembali seperti Golkar. Harus diingat, Umno juga berkuasa selama ini disebabkan sistem yang dibentuk menyebelahi mereka. Medianya, SPR, Polis, persempadanan semula, ISA dan mahkamah dilihat menyebelahi mereka. Namun sekiranya mereka tumbang dan sistem itu dirobohkan dan diganti dengan yang baru, ianya menyempitkan ruang Umno untuk kembali. Inilah jangkaan ramai penganalisis disebabkan Umno sendiri yang tidak membina kekuatan dalaman dan hanya bergantung dengan jentera kerajaan. Maka teori kebangkitan semula Golkar sesuatu yang mustahil terhadap Umno. Boleh jadi anak cucu akan datang hanya mengenali Umno di Muzium atau arkib negara sahaja.

Read the full story

Monday, March 8, 2010

Peruntukan Sekolah Dikurangkan, Cukai Golf Dihapuskan

8:29 AM

Kebanyakan sekolah sekarang tidak membenarkan pelajar membuka kipas sebelum pukul 10 pagi dan sebelah petang pula setakat pukul 5.30 sahaja. Sebelum itu kipaslah badan dengan buku. Guru juga sama. Tidak perlu lagi menggunakan projector atau apa-apa sahaja alat bantu mengajar menggunakan elektrik. Guna kapur dan papan hitam sahaja.

Bilik guru yang besar juga hanya dibenarkan menggunakan satu aircond daripada jumlah dua atau empat aircond yang dipasang sebelum ini. Malah ada sekolah yang membeli kipas meja untuk guru-guru bagi menggantikan aircond. Malah mesyuarat guru-guru setiap bulan juga asyik membincangkan cara menjimatkan letrik dan cara menambah pendapatan sekolalah bagi membayar bil-bil yang sepatutnya.

Jika dahulu mesyuarat guru-guru membincangkan soal prestasi pelajar dan lain-lain hal akedemik. Namun sekarang tumpuan itu sudah hilang. Di asrama pula, yuran-yuran pelajar dinaikkan. Setiap minggu pelajar dikenakan pulang ke kampung masing-masing. Jika hendak tinggal di asrama kena bayar penuh yuran makan minum dan letrik. Ibu bapa mengeluh kerana terpaksa mengambil anak-anak yang duduk di asrama setiap minggu.

Kenapa semua ini berlaku? Bagaimana dengan peruntukan kerajaan? Bukankah dahulu sekolah tidak perlu fikirkan soal bayaran bil kerana semuanya akan dilunaskan oleh penguasa. Kata pemimpin negara, ekonomi semakin baik dan stabil. Jadi kerana stabillah sekolah-sekolah dikurangkan peruntukan.

Namun dua hari lepas, pemimpin negara mengumumkan cukai kereta padang golf dimansuhkan. Orang kampung tidak main golf. 90 peratus adalah golongan berada dan pembesar negara. Apa akan jadi dengan negara kita. Ketika sekolah-sekolah di Indonesia semakin meningkatkan infrastruktur di sekolah mereka, sekolah di negara kita kembali mundur kebelakang. Inilah bahana penguasa tidak berharut (berhati perut).

Read the full story

Sunday, March 7, 2010

Kisah Siam Muslim

11:23 PM

Hampir dua hari perjalanan, kami sampai ke pintu masuk wilayah Isan (Utara Timur Thailand). Berehat sebentar di R n R kebetulan sebelah empangan. Setelah 20 minit, semua kembali ke kereta dan bersedia hendak bertolak. Tiba-tiba pemandu kami di Yayasan Kebajikan Fathani, mohon sedikit masa. Katanya hendak berdakwah. Kami mengangguk sahaja. 10 minit kemudian, dia kembali ke kereta dan maklumkan 4 gadis Siam yg ditemui, 3 daripadanya telah memeluk Islam hasil dakwah 10 minit mereka. Masya Allah mengejutkan. Kenapa jadi begini? Mudah sekali mendapat hidayah. Kerap kita mendengar Melayu Muslim di Selatan Thailand. Tetapi jarang mendengar Siam Muslim. Bila sebut Siam, nampaklah kejahatan tentera mereka membunuh muslim Tak Bai, teringat juga Siam Perut Hijau yang menjadi gelaran di Kedah buat Siam di sana. Ada cerita menarik Siam Muslim di Isan sehingga menyebabkan 3 gadis ini hanya 10 minit sahaja boleh masuk Islam.

Bergerak hari ketiga, kami sampai ke wilayah Korat (salah satu daripada 19 wilayah di Isan). Terus ke rumah sekeluarga Siam Muslim di sana. Tuan rumah namanya Adam, seorang anak muda berjuabah tanpa kopiah. Dia bertutur sepenuhnya dalam bahasa Siam dan diterjemahkan oleh geng-geng Fatani. Katanya di Isan ini Muslimnya hanya 20 ribu orang daripada 22 juta penduduk Isan. Jumlah mereka hanya 0.2 peratus sahaja daripada penduduk Isan. Walaupun jumlah muslim Siam ini tidak sampai 1 peratus, penduduk-penduduk Isan mengangkat 4 orang Siam Muslim menjadi wakil rakyat mereka. Maknanya orang Siam yang majoriti beragama Budha dan sedikit Kristian dalam jumlah mereka 99.8 peratus itu sanggup mengundi calon muslim yang mewakili minoriti Muslim. Ini kerana orang-orang di Isan tertarik dengan akhlak orang Islam di tempat mereka. Kebanyakan orang Islam terkenal dengan keberanian dan mereka adalah kaum peniaga. Walaupun dalam sebuah kampung muslimnya hanya seorang, tetapi usaha dakwah tetap di jalankan sehingga bertambahnya orang Islam.

Diantara penggerak awal dakwah di Isan ialah orang-orang Kabul(Afghanistan) yang datang ke sini ketika perang dahulu. Mereka belajar bahasa Siam dan menetap di sana sebahagiannya membuka perniagaan dan berkahwin dengan wanita Siam. Keduanya anak-anak Siam ini 10 tahun dahulu diambil sebagai anak angkat kepada penduduk Fatani di Selatan Thailand. Anak-anak Siam yang yatim dan susah ini dijaga oleh Yayasan Kebajikan Fatani sehingga usia 18 tahun. Kemudian mereka dilepaskan dalam keadaan tidak dipaksa memeluk Islam. Namun mereka telah memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Islam Fatani. Ada juga orang Malaysia yang berkahwin dengan orang Siam Isan ini. Lalu mereka pulang ke Isan dan memulakan usaha dakwah. Dalam tempoh lebih kurang 10 tahun, umat Islam bertambah menjadi 20 ribu. Masjid-masjid didirikan untuk mendirikan solat dan kelas pengajian Islam. Daripada 19 buah wilayah(negeri) di Wilayah Isan ini, 17 daripadanya sudah ada masjid. Ada negeri yang mempunyai sebuah masjid dan ada yang sudah dua, tiga hingga enam buah.

Dua buah negeri lagi langsung tidak ada masjid. Mereka terpaksa bergerak ke negeri lain sejauh 200 km untuk solat jumaat. Malah negeri yang sudah ada masjid itu pun tidak lah mencukupi bagi sebuah negeri sebesar Melaka itu. Masjid-masjid didirikan di tengah masyarakat seperti di pekan Korat. Rombongan kami juga melawat sebuah tapak masjid di Korat ini yang terletak berdepan dengan sebuah sekolah. Kewujudan masjid ini tidak menimbulkan masalah kepada penganut Buddha, malah mereka berbangga pula dengan orang Islam. Selama ini mereka tidak pernah kenal Islam. Dalam masa beberapa tahun ini mereka mengenali umat Islam yang masyhur dengan kehebatan pribadi mereka, akhlak, amanah dan kerajinan serta suka membantu. Keduanya penduduk Siam di Utara ini, iaitu Bangkok ke atas(sempadan Loas dan kemboja) sangat terbuka pemikiran mereka. Mereka boleh menerima kehadiran agama baru khususnya Islam dan mereka bersedia sahaja untuk mendengar dakwah yang disampaikan. Berbeza dengan Siam di Selatan yang amat berdendam dengan orang Islam.

Keterbukaan mereka dan sikap yang ditunjukkan oleh orang Islamlah yang menyebabkan dakwah begitu subur di wilayah Isan ini. Maka tidak hairanlah dalam masa 10 minit 3 gadis tadi memeluk Islam. Kerana sebelum itu bertahun-tahun mereka sudah melihat kehebatan orang-orang Islam. Tulisan ini saya nukilkan untuk gambarkan kepesatan pengIslaman di Utara Thailand. Dalam keadaan di Selatan, umat Islam diperangi dan ditindas sebahagiannya, di Utara Thailand, Islam berkembang dengan baik. Saya berkira-kira dengan sahabat di sana, tidak mustahil dalam masa 20 ke 30 tahun lagi, bangsa Siam di Utara akan menjadi majoriti Muslim atau sekurang-kurangnya berjumlah 15 ke 30 peratus yang sekaligus akan menjadi kuasa penentu dalam pilihanraya. Harus diingat pengundi di Isan ini sentiasa menjadi undi penentu kepada politik Thailand kerana jumlah mereka mewakili 1 per 3 penduduk Thailand yang berjumlah 60 juta itu. Cuma mereka perlukan dua bantuan sahaja. Pertamanya pendakwah yang boleh duduk di sana bergilir-gilir dan mampu bertutur Siam. Keduanya mereka perlukan bantuan membina masjid untuk dijadikan kelas-kelas agama kepada muallaf di sana.

Read the full story

Ahlan Wasahlan..

8:12 PM

Laman blog Minda Nasaie yang baru dibina hari ini 8 mac 2010 sebagai medan cetusan rasa saya terhadap isu-isu di sekitar kita. Pandangan saya banyak disalur ke pelbagai saluran lain tanpa koleksi peribadi untuk tatapan semua. Semoga blog ini bermanfaat untuk semua dan rakan-rakan pelayar MN ini dapat berkongsi idea untuk memupuk budaya ilmu, berfakta dan memberi pandangan untuk mencetus pandangan yang bernas lagi matang. Doakan saya istiqamah menulis berkongsi Cetusan Rasa dari MN..

Read the full story

Pendekatan politik pondan dizaman Raja Nong Chik

6:36 PM

Semenjak Raja Nong Chik menjadi ketua Umno Bahagian Lembah Pantai dan Menteri Wilayah, satu pendekatan politik baru telah berlaku di Lembah Pantai. Perlawanan politik hanya digunakan secara pukul curi atau memperalatkan orang lain untuk berhadapan lawan politik mereka. Jika sebelum zaman Raja Nong Chik, jarang baner program Pas dan PKR yang dibuang di Lembah Pantai. Namun pada masakini ia kerap berlaku.

Begitu juga dengan usaha menutup Pusat Asuhan Tunas Islam di Lembah Pantai yang langsung tidak berbau politik. Ianya jelas atas hasutan orang yang membawa politik baru ini. Terkini pembatalan tempahan gelanggang futsal DBKL. Ketika pemimpin Umno yang lain bercakap soal transformasi politik, kebebasan suara, namun di Lembah Pantai, mereka kembali ke zaman silam dengan menyekat lawan politik untuk bergerak.

Inilah pendekatan politik pondan di zaman Raja Nong Chik.

Read the full story

Feedjit Traffic

Followers