Photobucket

Tuesday, March 9, 2010

Categorized |

Diantara Golkar Dengan Umno: Siapa Mati Dulu

2:25 AM

Melihat usaha Umno menggunakan pihak berkuasa tempatan dibeberapa tempat untuk menutup Pasti mengingatkan penulis kepada kekuatan Umno itu sendiri. Di Indonesia, Golkar suatu ketika dahulu yang disamakan dengan Umno daripada segi diktator pemerintahannya, rasuah, nepotisme dan kronisme. Golkar yang dipimpin Akhbar Tanjung, Soeharto dan Bj Habibie ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat pada tahun 1998. Soeharto yang memerintah hampir 30 tahun disamakan dengan Mahathir yang memerintah hampir 20 tahun. Ditambah pula pemecatan timbalannya Dato Seri Anwar Ibrahim, ia sekaligus menyemarakkan kebangkitan rakyat era reformasi 1998.

Sejarah mencatatkan beberapa gerakan kebangkitan di Tanah Melayu sebelum merdeka lagi mendapat pengaruh gerakan di Indonesia seperti penubuhan Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Haji Yaakub, penubuhan PKMM pimpinan Mukhtarudin Lasso dan Dr Burhanudin Helmi serta penubuhan Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Begitu juga semangat reformasi menumbangkan soeharto berjangkit ke Malaysia.

Selepas Soeharto dijatuhkan, Bj Habibie menjadi Presiden Indonesia. Dia yang sebelum itu naib presiden Indonesia turut menerima tempias kemarahan rakyat. Sehingga dalam pilihanraya berikutnya, dia dijatuhkan dan kerusi Presiden dikuasai oleh Kiai Abd Rahman Wahid (Gus Dur) daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB). PKB yang sedikit berimej Islam namun terkenal dengan pendirian liberal seperti menyokong Inul Goyang Gerudi dalam banyak hal telah mengakhiri penguasaan parti Golkar semenjak lebih 30 tahun. Penganalisis ketika itu melihat Golkar akan terkubur dan pupus di Indonesia.

Namun kemenangan Gus Dur tidak berpanjangan apabila pemilihan Presiden selepas itu dimenangi oleh Megawati Sukarno Putri daripada Parti PDI Perjuangan (PDIP). Walaupun demokrasi semakin terbuka dan bercambahnya parti-parti baru seperti Parti Bulan Bintang pimpinan Yusril Ihya Mahendra, Parti Amanat Nasional pimpinan Amien Rais, Parti Umat Islam pimpinan Bapak Delier Noor, Parti Keadilan atau kini PKS pimpinan Dr Hidayat Nor Wahid, Parti Masyumi Baru dan banyak lagi parti lain, namun penguasaan parti-parti lama juga yang lebih menonjol dalam pilihanraya. Antaranya Golkar sendiri, PDIP, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) pimpinan Hamzah Haz menguasai banyak kerusi berbanding parti-parti baru.

Selepas hampir 15 tahun selepas kejatuhan Soeharto, Parti Demokrat menguasai pimpinan Sosilo Bambang Yodiyono menguasai banyak kerusi, sekaligus membolehkan mereka membuatkan pakatan politik untuk bertanding kerusi Presiden. Kali ini Parti Demokrat berganding dengan Golkar dalam Pemilihan Presiden (PILPRES). Sosilo atau SDY dicalonkan sebagai Presiden dan Yusuf Kala daripada Golkar dicalonkan sebagai Naib Presiden. Gandingan ini membawa kemenangan dan sekaigus Megawati dikalahkan oleh SDY dalam pilihanraya tersebut. Beberapa tahun berikutnya iaitu pada tahun 2009, Golkar meletakkan calonnya sendiri untuk PILPRES. Yusuf Kala dicalonkan sebagai Presiden untuk bersaing dengan SDY daripada demokrat dan Megawati daripada PDIP. Ini percubaan berani Golkar setelah melihat partinya menang banyak kerusi dalam PEMILU sebelum itu. Golkar dikatakan parti kedua memenangi paling banyak kerusi di Parlimen. Perlawanan ini juga sekaligus sebagai kebangkitan semula Golkar setelah kejatuhan Soeharto lebih 10 tahun yang lalu.

Walaupun pakatan Golkar tidak memenangi pilihanraya ini, setelah dikalahkan oleh Pakatan SDY dan Boediyono hasil tahaluf siasi dengan beberapa parti politik seperti PKS, namun Golkar tetap dilihat sebagai parti yang kuat di Indonesia. Dia menjadi parti kedua terbesar selepas Demokrat. Demokrat menguasai 148 kerusi dan Golkar 104 kerusi di Parlimen. Selepas Golkar, PDIP pimpinan Megawati menguasai tempat ketiga dan PKS tempat keempat terbanyak kerusi di Parlimen. Untuk pengetahuan, parti baru pasca kejatuhan Soharto iaitu PKS pimpinan Tifahul Sembiring satu-satunya yang berjaya menempatkan diri diarus perdana politik Indonesia apabila kali ketiga masuk pilihanraya sudah memenangi 57 kerusi atau 10 peratus kerusi di Parlimen. Pilihanraya sebelum itu PKS memenangi 47 kerusi. Parti yang sebelum ini dipimpin Hidayat Nor Wahid ini dilihat sebagai parti baru yang sedang memuncak di Indonesia dan tidak mustahil dalam pilihanraya yang akan datang mereka boleh berdiri dengan sendiri meletakkan calon Presiden.

Apa-apa pun Golkar yang dijangka akan mati sebelum ini berlaku sebaliknya. Walaupun parti itu masih terpalit dengan kegiatan rasuah dalam pemilihan ketua umumnya baru-baru ini, ia masih mendapat tempat disebahagian masyarakat Indonesia. Abu Rizal yang memenangi pemilihan ketua Umum Golkar dikaitkan dengan politik wang pada persidangan itu.

Bagaimana dengan Umno di Malaysia. Umno satu-satunya parti yang memerintah bersama pakatan Barisan Nasional sejak merdeka. Sudah 53 tahun UMNO/BN memerintah Malaysia tanpa bertukar tangan. Umno bergantung kuat kepada jentera kerajaan. Boleh dikatakan majoriti atau lebih 70 peratus bilik-bilik gerakan Umno di seluruh negara menggunakan aset kerajaan. Biasanya di peringkat cawangan, Umno akan menggunakan balairaya milik JKKK, balai penerangan, pejabat Kemas sebagai bilik gerakan mereka. Mereka juga menggunakan segala kemudahan kerajaan daripada kementerian-kementeriannya seperti penerangan, kenderaan-kenderaan kerajaan, dewan sekolah dan IPTA untuk melangsungkan aktiviti mereka. Begitu juga dengan pegawai kerajaan, polis, pihak berkuasa tempatan digunakan Umno dalam menghadapi musuh politiknya. Daripada segi pendidikan pula dan kemasyarakatan, Umno menggunakan Kemas milik kerajaan sebagai agensi mereka. Sumber kewangan mereka juga adalah hasil-hasil kerajaan.

Berbeza dengan lawan terdekatnya iaitu Pas. Pas mempunyai markaz disemua negeri, kawasan dan cawangan-cawangan. Malah ada tempat yang mempunyai kemudahan milik Pas yang setaraf dengan bangunan kerajaan seperti dewan Putik di Kelantan, Dewan Pas Kedah di Kota Sarang Smut, Dewan Pas Tanjung Karang, Kompleks Pas Kuala Terengganu dan banyak lagi. Pas juga mempunyai sekolah-sekolah dan kolej-kolej milik parti atau pimpinan mereka. Di Kedah adanya Muassasah Darul Ulum, Darul Quran Rusila, Kudqi di Manir dan terkini Kolej Universiti Zulkifli Muhammad di Taman Melewar. Kejayaan besar Pas juga ialah memiliki beribu buah tadika dikenali Pasti. Pelajarnya di seluruh negara berjumlah puluhan ribu setiap tahun. Walaupun tidak mmerintah, Pas memiliki aset yang sangat banyak untuk menggerakkan jenteranya.

Perbandingan inilah yang boleh dianalisis terhadap masa depan Umno. Jika Umno kalah dalam pilihanraya akan datang atau bila-bila masa sahaja, tidak mungkin dia akan kembali bangkit seperti Golkar. Umno akan lumpuh jenteranya kerena mereka sebenarnya hampir tidak ada jentera. Bukan sahaja bilik gerakan atau dewan-dewan besar milik Umno, untuk membina sebuah tadika pun Umno tidak memilikinya.

Oleh itu, jika kalah dalam pilihanraya, peruntukan kewangan yang tersekat, jentera yang lumpuh akan mengakibatkan Umno tidak boleh menggerakkan rodanya. Ia akan tersadai di tepi jalan. Media parti tidak ada, bilik gerakan tidak ada, sumber kewangan terbantut akan menyebabkan parti itu tidak mampu bangun kembali seperti Golkar. Harus diingat, Umno juga berkuasa selama ini disebabkan sistem yang dibentuk menyebelahi mereka. Medianya, SPR, Polis, persempadanan semula, ISA dan mahkamah dilihat menyebelahi mereka. Namun sekiranya mereka tumbang dan sistem itu dirobohkan dan diganti dengan yang baru, ianya menyempitkan ruang Umno untuk kembali. Inilah jangkaan ramai penganalisis disebabkan Umno sendiri yang tidak membina kekuatan dalaman dan hanya bergantung dengan jentera kerajaan. Maka teori kebangkitan semula Golkar sesuatu yang mustahil terhadap Umno. Boleh jadi anak cucu akan datang hanya mengenali Umno di Muzium atau arkib negara sahaja.

0 Responses to “Diantara Golkar Dengan Umno: Siapa Mati Dulu”

Post a Comment

Feedjit Traffic

Followers