Photobucket

Thursday, July 29, 2010

Sumbar: Wilayah Kedua Dikuasai PKS

10:42 AM

Selepas memenangi pemilihan Gabenor di Jawa Barat, PKS mula memenangi wilayah tidak dijangka iaitu Sumatera Barat(Sumbar). Ia meliputi kawasan Padang, Padang Pariaman, Padang Panjang dan Bukit Tinggi. Jika kemenangan di Jawa Barat oleh Ustaz Ahmad Heryawan sebelum ini menjadi satu tarikan baru di Indonesia kerana pembasmian rasuahnya, apakah pula yang akan berlaku di Sumbar.

Untuk pengetahuan bersama, Jawa Barat ini beribu negerikan Bandung, satu bandar istimewa di Indonesia yang menjadi tarikan pelancong serata dunia. Kawah gunung berapinya Tangkuban Perahu dan kehangatan air panas di puncak Bandung ini menarik gamitan pelancong. Ditambah pula dengan deretan institusi pengajian tinggi yang banyak menjadikan bandung juga sebagai pusat ilmu seperti Jogjakarta.

Selepas setahun Bandung/Jawa Barat diketuai oleh Gabenor daripada Parti Keadilan Sejahtera PKS, ia diistiharkan sebagai provinsi paling kurang rasuah di Indonesia. Kedudukannya seperti Sweden dan Denmark diperingkat dunia. Peninggalan korupsi, kronisme dan nepotisme KKN dizaman Soeharto ini suatu yang sukar untuk dikikis begitu cepat sebelum ini. tetapi apabila seorang gabenor daripada parti berorentasikan islam sebagai dasarnya memerintah, rasuah dan salah guna kuasa berjaya dibendung. Keadaan ini menjadi bualan penduduk Indonesia khususnya kelas menengah dan para pelajar.

Di Sumatera Barat pula keadaannya berbeza. Wilayah ini tidak dekat dengan ibu kota Jakarta seperti Jawa barat khususnya Bandung. Wilayah ini merupakan kawasan petani dan pesawah yang sangat besar. Asalnya tanah minang ini merupakan tempat lahirnya ulama-ulama besar Indonesia seperti Profesor Dr Hamka dan pemimpin Masyumi Bapak Nasir. Bapak Nasir yang digelar pengkhianat oleh rejim Sukarno ketika dahulu, telah diangkat menjadi pahlawan negara atau negarawan ulung dizaman pemerintahan Sosilo Bambang Yodoyono. Begitu juga dengan bekas timbalan Presiden Indonesia pertama, Hatta, juga kelahiran Sumbar di kawasan Bukit Tinggi. Malah kawasan ini dahulunya dikenali sebagai serambi Madinah.

Namun setelah beberapa dekat lamanya, perubahan berlaku begitu cepat. Anak-anak muda tidak tahu beragama. Budaya hedonisme mula melata. Golongan Pasentran hanya memikirkan pengajian mereka tanpa mendampingi masyarakat. Masjid dan surau kelihatan suram. Sebahagian masyarakat sekitar kawasan perkampungan masih lagi menjadikan sungai sebagai tempat membuang najis mereka. Ketamadunan semakin pudar dan kembali ke belakang. PKS juga bukanlah mendapat tempat sangat di kawasan ini walaupun mempunyai seorang wakil rakyat di peringkat perwakilan daerah saudara Baginda Yohanis. Saya sempat berinteraksi dengan Baginda Yohanis ketika beliau mengunjungi kami di desa yang berlaku gemba tahun lalu.

September 2009 menukar peta politik dan dakwah di kawasan ini. Gemba Bumi yang berlaku di Padang telag mengorbankan ribuan nyawa dan menghilangkan 7 buah kampung. Kesempatan pergi bersama saudara Nasir Hasan, Wan Mohd Adib dari Dungun dan beberapa orang lagi kontigen Yayasan Amal Malaysia memberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat. Kami sempat duduk beberapa ketika melayan baki penduduk kampung Chumanak yang tenggelam dek gemba bumi. Ratusan petugas PKS dari seluruh Indonesia dihantar ke kawasan gemba. Mereka tidak duduk di hotel-hotel atau rumah tumpangan. Sebaliknya duduk di surau-surau dan kawasan perkampungan memberi bantuan terus kepada mangsa.

PKS bukanlah badan yang memiliki dana yang besar. Namun tenaga kerja mereka sangat melata di Padang Pariaman khususnya. Khemah-khemah besar dipasang untuk mangsa gemba. Makanan dimasak, ibu-ibu dan anak-anak disantuni. Dengan bantuan rakan-rakan ngo daripada malaysia seperti Yayasan Amal Malaysia dan Muslim Care, PKS bersama ngo ini membina saluran air untuk keperluan penduduk. Berbekalkan teknologi telaga tiub dari negeri Terengganu, berbelas buah telaga tiup yang tidak perlu dicangkul atau digali telaganya berjaya dihasilkan di tiga buah kampung. Ini sekadar contoh. Untuk jangka masa panjang, PKS membina perkampungan dakwah untuk mangsa gempa. Mangsa diberi rumah percuma dan dikehendaki mengikuti pengajian di masjid surau.

Dipendekkan cerita,saya memetik kata-kata seorang teman PKS "disebalik musibah adanya barakah". Ini kerana selepas gemba bumi berlaku, tidak sampai setahun masyarakat berjaya membuka mata untuk kembali kepada agama. Mereka juga mula melihat pilihan mereka yang sebenarnya untuk diangkat menjadi pemimpin mereka. Hasil khidmat masyarakat ketika gempa dan selepas gempa inilah yang menyebabkan masyarakat tertarik untuk mengundi calon gabenor daripada PKS. Secara tidak langsung menyemarakkan lagi operasi dakwah di tanah minangkabau ini.

Read the full story

Monday, July 12, 2010

Bagaimana Memenangi Felda?

10:05 AM

Pilihanraya tahun 1999 menyaksikan Barisan Alternatif menang 8 kerusi di Pahang. Pas menang 6 kerusi, PKR dan DAP masing-masing 1 kerusi. Daripada 8 kerusi ini 5 kerusi mempunyai Felda iaitu Cini, Jengka, Paya Besar, Guai dan Tahan. Di Jengka, Cini dan Guai, Pengundi Felda adalah majoriti. Daripada 10 UPU di Jengka, 9 daripadanya adalah kawasan Felda. Pas memenangi 6 UPU daripada 10 di dun ini. Begitu juga di Guai, adanya Felda Tementi, Bera, Mayam, Purun dan lain-lain.

Ini memberi makna, pilihanraya 1999 pernah menyaksikan Pas memenangi kawasan Felda di Pahang. Perlu diketahui bahawa 60 peratus daripada Felda terletak di Pahang dan 40 peratus pengundi di Pahang adalah daripada Felda. Maknanya Felda boleh menjadi faktor jatuh bangunnya negeri Pahang. Sebelum itu mari kita melihat faktor-faktor kemenangan kawasan Felda 1999. Jika alasan sekarang kita kalah di kawasan luar bandar disebabkan maklumat yang tidak sampai. PRU 1999 juga menyaksikan Barisan Alternatif bermasalah dalam hal yang sama. Jadi siapa yang memenangkan Felda pada tahun 1999.

Kita lihat peti undi yang dimenangi oleh BA pada tahun tersebut kebanyakannya saluran 3. Manakala saluran satu dan dua juga ada peningkatan walaupun tidak besar. Maknanya kemenangan ini disebabkan oleh undi anak muda dan kaum tua. Bagaimana perubahan ini berlaku? Kebanyakan anak muda ini bekerja di Lembah Klang dan tempias kebangkitan reformasi akibat penangkapan Anwar Ibrahim terkena pada mereka. Mereka balik ke kampung mengasak ibu bapa supaya turut berubah menyokong Pas dan BA. Maka perubahan berlaku. Pengundi saluran satu ini memang sukar diubah, tetapi jika ianya dilakukan atas pengaruh anak-anak khususnya yang makan gaji di luar, berpelajaran, peratus untuk berubah itu lebih besar. Maka dua golongan ini iaitu sebahagian saluran satu dan majoriti saluran 3 dan 4 telah memenangkan BA pada tahun tersebut.

Oleh itu tidak boleh kita mengatakan pengundi Felda tidak pernah berubah dan sukar berubah. Kerana di Pahang pernah menyaksikan Pas menang di kebanyakkan kawasan Felda yang ditandingi. Ada dun Felda yang kita tidak menang tetapi beberapa peti undi di dalamnya dimenangi oleh Pas seperti dun Jempol dalam Parlimen Maran. Pas memenangi 3 UPU daripada 9 UPU di dun ini.

Oleh itu situasi pada hari ini juga tidak jauh berbeza. Berlakunya satu lonjakan perubahan menolak BN besar besaran khususnya di Lembah Klang. Bezanya gelombang 1999 lebih emosi berbanding kini. Gelombang pada hari ini atas kesedaran dan separa senyap. Ceramah, demonstrasi, perbicaraan Anwar dan lain-lain program Pakatan tidak dihadiri ramai seperti 1999. Tetapi apabila tiba pilihanraya ramai pula mengundi Pakatan. Berbalik kepada Felda tadi, perubahan juga harus bermula di bandar. Sangat ramai anak, cucu dan menantu peneroka Felda berada di Lembah Klang. Mereka inilah yang perlu digarapkan untuk menjadi juru kempen Pakatan di felda-felda. Jika tidak merubah ibu bapa sekalipun, sekurang-kurangnya mengubah adik-adik atau anak-anak peneroka yang duduk di kampung-kampung. Saranan ini bukan percubaan atau impian tidak berjejak, kerana buktinya sudah berlaku pada pilihanraya 1999. Di Pahang 12 daripada 13 parlimen mempunyai kawasan Felda.

Perlu diingat, pengundi di felda kebanyakannya 50 peratus ke bawah sahaja dikalangan peneroka dan isteri peneroka. Manakala selebihnya adalah anak-anak peneroka, menantu dan cucu mereka. Golongan ini mewakili hampir 50 peratus atau lebih dan mereka mudah menerima perubahan. isu pada tahun 1999 lebih kepada pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim. Tetapi isu pada hari ini ialah penipuan, penyelewengan dan penindasan peneroka Felda. Jika mereka faham isu sebenar, penolakan terhadap parti pemerintah akan berlaku secara sedar.

Read the full story

Monday, July 5, 2010

Daftar Pemilih Automatik sebabkan Huru Hara: Alasan Sempit

10:58 AM


Suruhanjaya Pilihanraya SPR menolak pendaftaran pemilih secara automatik kerana akan menyebabkan huru hara. Demikianlah alasan sempit pemikiran yang dibuat oleh SPR. Alasan yang tidak dijelaskan ini menunjukkan SPR berada dalam kesempitan sehingga tidak sempat mereka reka alasan lain.

Jika dahulu SPR mengatakan masalah sistem akan berlaku kerana sukar untuk menyelaraskan pendaftaran diantara SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Alasan ini tidak lagi diterima, namun lebih baik daripada alasan terkini, 'huru hara'. SPR memberi kenyataan seolah-olah mereka berada dibawah kuasa yang terasing diantara Jabatan Pendaftaran Negara. Sedangkan Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR sama-sama berada di bawah kerajaan persekutuan.

Jabatan pendaftaran mempunyai rekod rasmi yang sah tentang rakyat Malaysia yang dilahirkan dan meninggal dunia. Mereka mempunyai rekod setiap warganegara yang mencukupi usia 21 tahun dan layak mengundi. Maka apakah masalahnya nama ini secara automatik menjadi pengundi berdaftar. Begitu juga dengan masalah pengundi yang meninggal dunia. SPR tidak perlu menanti bantahan daripada parti politik setiap kali musim bantahan dibuat kerana Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai rekod setiap kematian. Keluarkan sahaja nama yang sudah meninggal dunia daripada pendaftaran.

Jika hendak dikatakan SPR ini tunduk kepada kehendak parti pemerintah Barisan Nasional, apa untungnya Barisan Nasional jika ramai rakyat tidak mengundi? Pakatan Rakyat dan BN sama-sama perlukan undi. Jika untungnya BN boleh manipulasi sebahagian nama orang yang sudah mati untuk dijadikan pengundi hantu dengan diberikan kad pengenalan kepada hantu-hantu ini, sama sahaja faedahnya jika semua rakyat didaftarkan secara automatik sebagai pengundi. Manakan tidak, ketika pendaftaran pemilih perlu dibuat sendiri ini pun masih ada lebih 20 peratus rakyat yang tidak keluar menundi. Bayangkan jika semua orang didaftarkan sebagai pemilih. Boleh jadi rakyat yang tidak keluar mengundi meningkat sehingga 50 peratus iaitu kalangan yang tidak peka dengan politik dan pekak penderitaan diri sendiri.

Maka di sini juga ada ruang untuk dijadikan pengundi hantu yang mengundi bagi pihak BN. Inilah dilema SPR sejak berpuluh tahun ini. Bukan SPR tidak sedar, tetapi turut menjadi tidak cerdik sama seperti Barisan Nasional. Lihat sahaja bekas-bekas Pengarah SPR yang pencen. Setelah pencen sahaja, baru berani keluarkan kenyataan mengkritik peraturan-peraturan tidak telus SPR. Barulah hendak keluarkan cadangan-cadangan baik yang lebih dahulu Pas dan rakyat kemukakan.

Sudahlah peraturan untuk membuat bantahan nama-nama yang meninggal dunia dan nama-nama yang diragui menyusahkan. Setiap nama yang dibantah perlu dibayar RM10. Ada Pas negeri yang efisyen dan efektif melakukan gerak kerja pilihanraya terpaksa mengeluarkan berpuluh ribu wang untuk dibayar kepada SPR bagi membantah nama-nama pengundi yang meragukan. Apa peliknya, jika setiap suku pertama hingga keempat setiap tahun, setiap parlimen mempunyai 200 nama yang meragukan, satu negeri jika ada 15 parlimen, jumlah yang dibantah 3 ribu orang. Maka jumlah wang perlu dibayar RM30 ribu. tiga tahun buat bantahan, hampir RM100 ribu terpaksa dikeluarkan.

Inilah dilema pilihanraya di Malaysia apabila parti pemerintah takut untuk kalah.

Read the full story

Thursday, July 1, 2010

Catatan Syam 2: UlamaYang Utamakan Disiplin

5:13 AM

Tepat jam 3.30 pagi, azan subuh akan dikumandangkan. Selesai azan, para jemaah akan solat sunat dan membaca Al Quran. Biasanya masjid akan menanti 30 minit selepas azan barulah sembahyang. Jam akan memutarkan waktu dari 30 minit, 29,minit, 28 minit sampailah kepada 1 minit. Angkanya berubah-ubah. Terus sahaja ke 59 saat, 58, 57...4, 3, 2 dan 1 saat. Cukup 30 minit. Sebaik sahaja jam elektronik menunjukkan angka 1 saat, muncul ulama tua berusia 79 tahun di muka pintu masjid dan terus ke tempat imam dan imamkan solat subuh. Itulah dia Sheikh Said Ramadhan Al Butti pengarang Fiqh Sirah yang masyhur di zaman ini. Dua tahun dahulu kerap kami solat di masjidnya. kerinduan meninggalkan bumi Syam itu saya ambil sepenuhnya untuk solat subuh empat hari berturut-turut di Jame Butti minggu lepas.

Selama empat hari, begitulah saya melihat kehadiran Sheikh Butti. Jam menunjukkan 1 saat sahaja, mesti dia muncul. tidak pernah lewat walaupun sesaat. Sedangkan dia datang dengan kereta yang dipandu pemandunya. Natijahnya ialah, hampir tidak ada jemaah yang datang lewat ke masjid. Malu dengan ulama tua yang jalannya perlahan, boleh hadir tepat waktu. Apabila masuk ke masjid, saya segera bangun, ditunjuknya ke arah saya isyarat jari supaya duduk. memang orang lain tidak bangunpun. Apabila dia duduk di tempat imam barulah para jemaah bangun. Sheikh Butti amat melarang penghormatan buat dirinya. Bukan sahaja berdiri semasa kehadirannya, cium tangan dan ambil gambar pun tidak dibenarkan.

Kisah ini mengingatkan penulis kepada Sheikh Mahmud Siyam mantan imam Al Aqsa yang kerap dibawa ke Malaysia untuk ceramah Palestin. Dia akan bersiap lebih dahulu daripada pemandunya di tempat penginapan untuk ke tempat ceramah. Pernah sekali terlewat sampai, segera dia menegur. Katanya jika tiba lewat daripada waktu sepatutnya, orang tidak kata 'driver Sheikh Siyam yang lambat, orang akan kata Sheikh Siyam lambat. Ini tidak sepatutnya.

Banyak lagi kisah yang boleh dikongsi berkaitan dengan ulama yang sangat disiplin dalam waktu. Malangnmya kita yang muda pada hari ini khususnya yang berada dalam gerakan dakwah, disiplin waktu sangat buruk. Sehingga tanpa malu menggunakan istilah 'janji Melayu' atau 'waktu Melayu' bagi menjustifikasikan tindakannya atau rakan yang lambat hadir mesyuarat dan sebagainya. Tidak ada bangsa yang menghina bangsanya sendiri. Kita boleh lihat, organisasi yang mesyuaratnya, liqanya berjela-jela, masa tidak ditepati, kerap lambat lebih 30 minit untuk mulakan mesyuarat, pergerakannya juga lambat dan lembap. Mari kita mulakan untuk merasakan malu jika lewat hadiri mesyuarat, usrah dan sebagainya.

Satu lagi jika Sheikh Butti yang tua dan seorang ulama tepati waktu, maka pengikutnya juga akan jadi begitu. Begitulah sebaliknya. Jika ketua organisasi, poemuda kah, muslimat kah, YDP kah yang lambat, anak buah juga jangan diharam hendak jadi cepat. berubahlah.

Read the full story

Catatan 1 ke Syam dan Turki

4:48 AM

Masuk ke Jame Butti, terus duduk di saf belakang kerana saf di hadapan telah penuh. Selesai solat sunat, Dr Taufiq Ramadhan Butti naik ke mimbar. Terus sahaja menegur dengan serius jemaah yang tidak memenuhi saf hadapan. Merah mukanya marah jemaah yang datang awal tetapi ruang depan masih lagi rompong. Segera semua bergerak dengan pantas ke depan. Khutbah dimulakan. Kali ini beliau bercakap tentang orang zalim. Khusyuk mendengar kisah-kisah dalam sejarah berkaitan dengan pemimpin yang zalim. lebih kurang dua puluh minit berkhutbah, tiba-tiba lalu seorang anak muda dari belakang dan terus melangkah satu persatu saf menuju ke saf paling hadapan. Terus sahaja dia duduk di belakang sejadah imam.

Sheikh Taufiq yang asyik berkhutbah terhenti,terus dijerkah anak muda itu. Datang lambat, duduk di saf hadapan. Macam-macam lagi la marahnya Dr Taufiq. terus sahaja dia mengarahkan anak muda itu ke saf belakang. Anak muda tersebut segera bangun dan ke belakang. Teringat ketegasan Dr Taufiq ini mewarisi ketegasan bapanya Dr Said Ramadhan AlButti, penulis Fiqh Sirah yang terkenal itu. Ketika sedang khutbahm beliau pernah berhenti dan memarahi seorang jemaah yang asyik mengambil gambarnya. Memang pantang bagi Sheikh Butti ini jika diambil gambarnya atau dicium tangannya.

Teringat di kampung halaman satu ketika dahulu. Tok Imam yang sedang berkhutbah menegur anak-anak yang bising di belakang masjid. Selesai khutbah ada makmum yang mufarakah ketika sembahyang. Katanya imam lagho. Inilah sebabnya jahil. Jika peristiwa di Jame Butti di kaki Jabal Qasium, Damascus tadi adalah perkara biasa. Si ditegur tidak malu dan orang ramai pun tidak bising selepas sembahyang. Biasa sahaja jika ditegur ulama dalam apa-apa majlis. Saya sendiri pernah ditegur Dr Kuraim Rajih. Dia ni ketua ulama Qurra Syam. Masyhur di seluruh dunia pembelajaran Al Quran. Sanadnya dikatakan paling dekat dengan Ibnu Abbas. Sukar sekali menghafaz Al Quran dengan beliau jika tajwid kita tidak kemas.

Ketika itu, bumi Syam kesedihan dengan pemergian Sheikh Taha Sukar salah seorang ulama Qurra yang berusia dalam 100 tahun. Saya ke rumah Sheikh Kuraim Rajih bersama isteri dan beberapa orang kawan. Sambil berbual tentang Malaysia, saya bertanya, siapakah yang akan menggantikan Sheikh Sukar sebagai ulama Qurra? terus sahaja saya dimarahi. Katanya itu bukan kerja kamu, kerja kamu menghafaz Al Quran.kelu dan malu dibuatnya. tetapi terasa bangga selepas itu kerana tegurannya melekat ke dada sampai hari ini. Kadang-kadang kerap sahaja kita ini hendak mengetahui urusan orang lain khususnya pimpinan. Kononnya hak kita untuk mengetahui. tetapi dalam masa yang sama urusan dan kerja kita tidak dilaksanakan. Menjadi ahli mana-mana gerakan, langsung tidak membantu gerakkan hatta diperingkat paling kecil.

Read the full story

Feedjit Traffic

Followers